SELOKA PAK KADUK



Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Ada isteri di bunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

Tersenyum seketika menghayati seloka Pak Kaduk.  Sastera Rakyat Melayu yang seangkatan dengan Pak Pandir. Kisah yang 'evergreen' melangkaui zaman. 
Pak Kaduk si bendul, Dungu atau Bodoh?  Bolehkah diklasifikasikan sebagai bodoh sombong? 
Lucunya Pak Kaduk sering dijadikan perumpamaan dan tauladan.  Masih adakah Pak Kaduk di zaman ini?  Masih adakah Pak Kaduk dizaman serba moden dan celik IT ini?  Secara zahirnya kita dapat melihat orang2 sebegini didalam masyarakat kita.  Selalunya orang yang 3suku dan tak berapa nak cente.  Namun jika diperhalusi, sikap ini sangat sinonim dengan masyarakat kita.  
'Aduhai malang Pak Kaduk, Ayamnya Menang kampung tergadai.  Sedih.. sungguh sedih.. Dungunya Pak Kaduk.. memang dungu.  Kerana kebodohan dan PERCAYAKAN anasir luar, kesilapannya tidak akan dapat diundur walau menangis air mata darah sekalipun.  Apa gunanya kemenangan sekiranya tanah dipijak milik orang?  Apa yang dicari dari kemenangan?  
  
Ada nasi dicurahkan, awak pulang kebuluran.  Teringat pula pada pepatah Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran.  Sikap apakah ini?  Sikap yang tidak menghargai apa yang ada?  Tidak tahu bersyukur? Mengharapkan bulan jatuh keriba?  Mungkin ada yang beranggapan mencuba sesuatu yang baru lebih baik dari berada ditakuk lama yang kurang menguntungkan.  Kurang menguntungkan sangat negatif dibandingkan dengan perkara yang sangat menguntungkan namun jangan tersilap, perkara yang kurang menguntungkan itu lebih baik dari perkara yang merugikan.  Setiap tindakan perlu dikaji, diimbangi dan dinilai supaya untung dan rugi dapat dikenalpasti.
 Untungkah kita sekiranya tangga-tangga kemenangan dibina dari jenazah saudara sendiri?  Jangan bersikap melayu mudah lupa.  Lupa pada pengorbanan datuk nenek pemimpin yang bertungkus lumus memerdekakan negara kita.  Terlupa asal usul bangsa kita.  Terlupa darah daging yang serupa dengan kita.  Dan jangan terlupa pada kisah Pak Kaduk yang melucukan kita.  Mahukah bangsa lain melucukan kita pula?
Berwaspadalah dengan orang yang menghulurkan manisan, kerana ianya mungkin memudaratkan .  Bersyukurlah pada yang memberi kepahitan kerana pahit itulah yang menjadi ubatan.  


Satu warna sudah memadai dari mati dikaki langit tatkala mengejar 7 lapisan pelangi.